Thursday, April 3, 2008

Pembedahan Sampai Ke India?

Sidang media pada hari ini telah diberitahu oleh Menteri Kesihatan bahawa pesakit jantung akan dihantar ke India dan mungkin akan ditempatkan di wad selama 3 bulan. Kos keseluruhan dianggarkan hanya berjumlah RM10 000.00 berbanding di Malaysia iaitu RM17 000.00. Persatuan Perubatan Malaysia tidak begitu bersetuju dengan cadangan yang diberikan dan diminta adalah lebih baik jika kos di Malaysia dikaji semula.


Persoalan di sini, wajarkah pembedahan sampai ke India? Adakah kerajaan sudah berfikir semasak-masaknya atau sekadar melepaskan batuk di tangga? Memang benar bahawa hampir separuh dari jumlah pesakit jantung di Malaysia memerlukan pembedahan dan dalam keadaan itu hanya segelintir yang berjaya mendapat sumbangan kerana jumlah tanggungan hanya RM2 juta setahun. Secara peribadi, saya tidak bersetuju dengan tindakan yang dikemukan oleh menteri berkenaan.

Mengapa? Sememangnya hal ini telah dibangkitkan persatuan berkenaan tetapi tidak salah mengukuhkan apa yang dibangkitkan. Jika Malaysia sering kali membuat pembedahan jantung di luar negara, Malaysia bakal mempunyai doktor jantung yang tumpul kemahirannya. Mungkin selepas ini tiada langsung doktor jantung yang mahir kerana semua dibuat oleh orang luar. Malahan ada kemungkinan banjiran doktor luar masuk ke Malaysia. Kita ambil contoh Libya, negara yang disekat perdagangan ini mampu menjadi antara negara yang ramai doktor mahir kerana semuanya dilakukan di negara sendiri.

Selain itu, pembedahan di luar negara bermaksud money flow akan bertambah secara terus. Nilai mata wang mengalir keluar dan ini akan menggoyahkan nilai mata wang ringgit di pasaran antarabangsa. Kadar inflasi akan meningkat, jika sekarang dikatakan mungkin meningkat ke 3%, mungkin selepas modus operandi ini diluluskan, ia akan meningkat lagi. Negara ini masih di dalam keadaan cuba menstabilkan diri agar pelabur kembali yakin, maka, sebarang tindakan tidak membantu adalah tidak wajar.

Bagaimana dengan rawatan susulan? Setiap rawatan pasti ada susulan, apatah lagi yang kronik dan penting seperti jantung. Adakah ini bermakna kita perlu menyambung tindakan susulan di luar juga? Kita banyak tenaga di Malaysia yang dapat membantu. Lagipun, jika ia dilakukan di dalam Malaysia, orang kita juga yang dapat manfaat. Saya sarankan agar ia difikir dahulu sebelum dikota. Canang baik-baik...

Sekadar pendapat peribadi...

P/s : Ada ke peruntukan untuk penyakit luar biasa macam dihadapi saudara kita di Sabah tu?

No comments:

Post a Comment

 
ss_blog_claim=5aad5ed1c8ceb4641cefa49c80dcccf8